Penglibatan Pemuda dalam Pembangunan Ekonomi Negara

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) semakin menghampiri. Pada masa ini juga, banyak keyboard warrior mula melontarkan pelbagai jenis kecaman dan lantang menyuarakan ketidakpuasanhati dari aspek pembangunan ekonomi masyarakat dan diri.

Saya terpanggil untuk meluahkan pendapat dan pandangan mengenai persoalan dan permasalahan yang saya rasa tidak akan berpenghujung ini. Ini kerana, persoalan utama adalah berkaitan disiplin diri dan kesungguhan dalam memajukan ekonomi diri.

Individu sebegini seringkali menempelak dan menunding jari kepada orang lain sehinggakan terlupa untuk memuhasabahkan diri sendiri sejauh mana diri sendiri telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi sendiri? Boleh dikatakan, mereka ini adalah antara orang yang tidak pernah peka dengan ganjaran dan bantuan yang telah diberikan oleh Kerajaan dalam memajukan ekonomi semua terutamanya Melayu & Bumiputera.

Kegagalan untuk mendapatkan pekerjaan atau menjana pendapatan yang stabil semuanya berpunca daripada diri sendiri. Dalam Islam, kita seringkali memohon di dalam doa diakhir solat untuk memohon kebahagian hidup di dunia dan akhirat, tapi adakah kita pernah menghayatinya?

Berbalik kepada persoalan pokok, pertama sekali ingin saya menekankan akan isu berkaitan penerimaan BR1M yang diterima oleh golongan remaja secara khususnya kerana pada pandangan saya, kerajaan telah menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat seperti mana yang dituntut oleh Islam untuk berlaku adil kepada semua masyarakat.

Berdasarkan kajian, kebanyakan penerima bujang yang mendapat BR1M ini tidak memanfaatkan sumber ini sepenuhnya. Sebagai contoh, golongan bujang terutamanya remaja menggunakan BR1M tersebut untuk benda yang tidak berfaedah. Ini yang dikatakan, lebih kuah dari sudu. Sepatutnya, sebagai penerima BR1M, wang yang disalurkan sepatutnya dimanfaatkan untuk menambah sumber pendapatan dengan mempelbagaikan sumber pendapatan menerusi perniagaan kecil-kecilan yang boleh dibuat secara separuh masa. Sebagai contoh, dengan bantuan sebanyak RM450, penerima boleh menghasilkan produk makanan seperti menjual nasi lemak, nasi goreng, pisang goreng, keropok lekor, menjual kerepek, dan sebagainya kerana perniagaan sebegini hanya memerlukan modal yang kecil dan tidak lebih RM300. Justeru, saya berpendapat masyarakat golongan muda ini hanya menunggu untuk disuapkan meskipun telah mengetahui peluang pekerjaan pada masa kini sukar untuk diperolehi meskipun mempunyai pelajaran yang baik. Ingatlah, hanya dengan berniaga sepertimana yang disarankan oleh Islam, pembangunan ekonomi sesebuah tamadun dapat dimajukan.

Isu yang kedua, peluang dan bantuan permulaan perniagaan yang ditawarkan oleh Kerajaan saban tahun kepada golongan Bumiputera dan golongan wanita sama ada ibu tunggal mahupun suri rumah. Isu ini seringkali diputarbelitkan oleh pembangkang dengan menjadikan ianya antara propaganda mereka untuk menjatuhkan kerajaan yang telah sekian lama berjasa kepada masyarakat. Sebenarnya, sejak tahun 1980an melalui Dasar Ekonomi Bumiputera (DEB), kerajaan telah merangka pelbagai jenis bantuan permulaan perniagaan kepada bumiputera agar dapat bersaing dengan masyarakat lain di Malaysia. Malangnya, hanya beberapa peratus Bumiputera yang memanfaatkan peluang yang diberikan sehingga menjadi antara orang-orang yang berjaya.

Tidak dinafikan, ada juga golongan yang hanya berjaya separuh jalan dan terkandas dipertengahan. Namun, kerajaan masih membantu golongan sebegini dengan dengan mewujudkan Tabung Pemulihan Usahawan (TPU) untuk memastikan kelangsungan perniagaan mereka. Alhamdulillah, atas inisiatif sebegini, ramai usahawan bumiputera yang terkandas dipertengahan masih dapat meneruskan semula perniagaan mereka sehingga ke hari ini.

Jadi, adakah anak muda pada hari ini sedar dan peka dengan bantuan-bantuan sebegini atau sekadar membuta tuli membuat tohmahan serta menjadi Keyboard Worrior? Ingatlah, kejayaan dan keamanan yang kita kecapi pada hari ini adalah sumbangan yang telah dijayakan oleh kerajaan pada hari ini yang telah mentadbir dan mengawal ekonomi Malaysia dengan baik sehingga diiktiraf oleh badan-badan dunia seperti World Bank, Credit Rating Antarabangsa dan sebagainya. Ibarat kata pepatah Melayu, yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang.