Kolaborasi Antara Syarikat Takaful Dan KWSP Dalam Memaksimumkan Simpanan Persaraan Pencarum

Hasil kajian yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan (AKPK), mendapati hampir semua pekerja swasta yang telah bersara wajib dan menerima wang caruman KWSP selepas persaraan hanya mampu menggunakan wang caruman mereka dalam tempoh kurang daripada lima (5) tahun. Hanya beberapa peratus sahaja yang mampu membelanjakan wang persaraan mereka melebihi lima (5) tahun. Oleh disebabkan itu, Kakitangan Kerajaan lebih selesa memilih untuk menerima pencen selepas persaraan mereka berbanding dengan caruman di KWSP yang bersifat sementara. Ini jelas menunjukkan bahawa pesara kakitangan kerajaan kebanyakkannya tidak akan menghadapi masalah ini kerana masih mempunyai pendapatan tetap melalui bayaran pencen meskipun telah bersara. Selain itu, kebajikan mereka sentiasa menjadi keutamaan dalam agenda pembangunan kerajaan berbanding dengan kakitangan swasta.
            Kajian lanjut mendapati antara faktor utama yang menyebabkan permasalahan ini khususnya di kalangan kakitangan swasta adalah kerana jumlah caruman mereka kurang daripada RM500,000 dan tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan mereka selepas lima (5) tahun persaraan. Menurut statistik, perbelanjaan seorang individu yang belum berkahwin dan eksekutif muda pada masa ini memerlukan sekurang-kurangnya pendapatan RM3,000 sebulan. Bayangkan bagi yang telah berkeluarga, perbelanjaan akan lebih tinggi. Ini jelas membuktikan dengan hanya berbekalkan simpanan caruman KWSP yang kurang daripada RM500,000 selepas persaraan sememangnya tidak mencukupi. Bahkan pelbagai faktor telah diambilkira dalam penilaian ini termasuklah peningkatan kos sara hidup dan pertambahan kos perubatan luar jangka.
Selain daripada itu, kajian lain mendapati kebanyakan pencarum KWSP tidak memanfaatkan pendekatan yang telah diperkenalkan oleh KWSP dan kerajaan dalam memaksimumkan simpanan persaraan mereka. Sebagai contoh Skim Pengeluaran untuk Pendidikan yang bertujuan untuk menggalakkan pencarum untuk belajar (sepenuh masa atau separuh masa). Pencarum yang berpendidikan lebih tinggi kebiasaannya akan memperolehi peluang pekerjaan yang lebih baik dan secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf hidup. Apabila mendapat pekerjaan yang lebih baik dengan pendapatan yang lebih tinggi, maka jumlah caruman turut meningkat. Ini adalah antara manfaat yang jarang dilihat oleh pencarum dalam memaksimumkan jumlah caruman mereka. Tidak dinafikan ada beberapa faktor luaran lain seperti jumlah caruman yang sedikit, masalah keluarga, ketiadaan peluang dan lain-lain yang perlu dipertimbangkan lebih lanjut sebelum keputusan dibuat. Namun demikian, tetap ditegaskan dan diingatkan bahawa semua agama menekankan pendidikan sepatutnya dijadikan asas utama dalam memajukan diri dan keluarga.
KWSP juga dalam rangka pelan lain turut mempelbagai skim yang ada dengan mewujudkan Skim Pengeluaran Pelaburan. Untuk kepelbagaian (diversification) ini, KWSP juga telah menggalakan para pencarumnya untuk melabur dengan mana-mana unit amanah yang berdaftar dan diiktiraf untuk melipatgandakan simpanan mereka. Malangnya, hanya beberapa peratus yang memanfaatkan peluang ini.
Dalam pembentangan kerangka pelan pembangunan negara yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen, Kerajaan pada tahun 2012 telah meluluskan dan memperkenalkan kadar gaji minimum sebanyak RM900 untuk Semananjung dan RM800 untuk Sabah dan Sarawak. Pendekatan ini merupakan salah satu langkah proaktif Kerajaan dalam mengekang masalah kenaikan kos sara hidup dan menjadikan pendapatan isi rumah meningkat di samping menaikkan taraf hidup masyarakat dalam mencapai negara maju pada tahun 2020. Secara tidak langsung, ianya membantu pekerja swasta untuk membuat potongan caruman KWSP yang lebih tinggi berbanding sebelumnya dan seterusnya meningkatkan jumlah caruman mereka selepas persaraan. Namun demikian, ianya masih tidak mencukupi.
Dari aspek persiapan menghadapi masalah serius atau kecemasan seperti kesihatan, didapati kebanyakan pesara tidak mempunyai perlindungan takaful dan hanya bergantung harap sepenuhnya kepada Hospital Kerajaan dan Klinik-klinik Kerajaan. Malah, ada sebahagian pekerja swasta yang mana syarikat mereka menyediakan faedah perubatan sepanjang tempoh perkhidmatan menganggap pengambilan perlindungan tambahan ini sebagai perlindungan berganda dan hanya meningkatkan kos perbelanjaan mereka. Ini jelas menunjukkan bahawa kesedaran memiliki perlindungan takaful hanya membebankan tanpa memikirkan kepentingan dan pulangan dalam jangka masa panjang.
Melihat kepada permasalahan ini, kajian berkaitan pemilikian perlindungan takaful di kalangan rakyat Malaysia mendapati kesedaran orang awam masih rendah terutamanya Bumiputra. Maka dengan itu, Syarikat Takaful di Malaysia dengan lebih aktif berterusan mewujudkan kesedaran pemilikan perlindungan takaful kepada umum melalui pelbagai pendekatan. Sekurang-kurangnya ianya berkesan dan kesedaran mula meningkat secara drastik daripada 5% pada tahun 2000 ke 30% pada tahun 2010. Ini secara tidak langsung telah membuka peluang perniagaan yang besar kepada Syarikat Takaful tempatan mahupun antarabangsa.
Perlu diingat bahawa Persaraan dan Perbelanjaan Perubatan selepas persaraan mempunyai hubungan yang sangat rapat. Perbelanjaan kesihatan selepas persaraan kebiasaannya lebih tinggi berbanding dengan tempoh perkhidmatan dengan majikan. Statistik mendapati lebih 50% pesara menghadapi pelbagai jenis penyakit serius seperti lemah jantung, buah pinggang, darah tinggi, dan ada yang lebih teruk memiliki penyakit barah. Semua ini memerlukan kos rawatan yang agak tinggi. Sebagai contoh pesara yang menghadapi masalah kegagalan buah pinggang. Pesakit perlu menjalani rawatan heamodialisis dan rawatan susulan yang berterusan. Oleh itu, kos perbelanjaan perubatan akan meningkat. Seandainya jumlah caruman tidak mencukupi, ini akan menyukarkan lagi proses rawatan dijalankan secara sempurna dan beterusan. Inilah antara kekangan utama yang perlu dilihat oleh orang ramai terutamanya pencarum KWSP yang masih belum bersara. Ini sepatutnya dijadikan iktibar buat semua. Maka, perlindungan takaful secara berterusan dan memberikan faedah selepas persaraan amat penting.
Meskipun demikian, tidak dinafikan bahawasanya pelaburan tambahan ke atas perlindungan takaful sememangnya membebankan terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah. Sebagai contoh, perlindungan takaful berjumlah RM200,000 memerlukan individu melaburkan sejumlah wang antara RM100 ke RM200 setiap bulan. Dengan pendapatan minimum antara RM800 ke RM900, jumlah pelaburan tambahan ini sememangnya dikira agak besar dan membebankan. Apatah lagi bagi yang sudah berkeluarga. Pelbagai faktor perlu dipertimbangkan termasuklah perbelanjaan harian, hutang, perbelanjaan persekolahan, utiliti dan lain-lain lagi.
Jelaslah, permasalahan kekurangan dana dan ketiadaan sumber pendapatan lain selepas persaraan bagi kakitangan swasta adalah satu permasalahan yang serius dan perlu dibendung dengan lebih agresif agar matlamat negara untuk menjadi negara maju pada tahun 2020 tercapai. Justeru itu, Kerajaan perlu memainkan peranan dengan mewujudkan kolaborasi antara KWSP dan Syarikat Takaful untuk mengatasi permasalahan ini dengan merangka persefahaman baru di antara dua pihak ini.
Pada masa ini, umum mengetahui bahawa KWSP hanya membenarkan pencarum membuat pengeluaran Akaun 1 untuk Pelaburan Unit Amanah dan ianya mendapat sambutan yang agak menggalakkan daripada pencarum meskipun hanya beberapa peratus yang memanfaatkan skim ini. Jadi, ini adalah peluang yang perlu dipertimbangkan oleh KWSP dengan memperkenalkan skim pengeluaran baharu iaitu Skim Pengeluaran Pelaburan Insurans melalui Akaun 1 untuk pembayaran perlindungan takaful/insurans tahunan secara terus kepada Syarikat Takaful terpilih dan seharusnya diperbaharui secara automatik. Skim ini boleh menggantikan Skim Pengeluaran Perubatan yang mana hanya jumlah tertentu yang boleh dikeluarkan untuk pembiayaan perubataan dan adakalanya masih tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan perubatan. Sekurang-kurangnya, dengan mewujudkan Skim Pengeluaran Pelaburan Insurans ini, pencarum tidak perlu untuk membuat permohonan Pengeluaran Perubatan sebaliknya hanya memanfaatkan perlindungan yang disediakan oleh Syarikat Takaful. Dan ini sepatutnya tidak akan mengurangkan jumlah simpanan pencarum. Modus Operadi (lihat Lampiran 1) bagi skim ini sepatutnya sama seperti Skim Pengeluaran Pelaburan Unit Amanah di mana pada tempoh matang semua pulangan perlu dimasukkan semula ke dalam akaun pencarum untuk memaksimumkan pulangan sewaktu persaraan.
Bagi Syarikat Takaful, dicadangkan untuk mewujudkan satu rangkaian produk yang mengkombinasikan beberapa perlindungan seperti Perlindungan Keluarga, Perlindungan Hayat, Kad Perubatan, Pelaburan Simpanan & Pendidikan (Investment-Link) dan lain-lain perlindungan dalam satu pakej khas untuk pencarum KWSP dengan jumlah perlindungan tertentu contohnya antara RM500,000 ke RM1,000,000 mengikut kelayakkan potongan pencarum. Buat masa ini, Prudential BSN Takaful telah mewujudkan gabungan Pakej sebegini dan dikenali sebagai Pakej 3 dalam 1 (Perlindungan, Simpanan dan Khairat) dengan jumlah perlindungan minimum sebanyak RM600,000. Oleh itu, tidak mustahil untuk  Syarikat Takaful mewujudkan pakej khas untuk pencarum KWSP. Seterusnya, Syarikat Takaful perlula bekerjasama dengan pihak KWSP dengan memeterai Memoranda Persefahaman (MoU) untuk melancarkan Skim ini.
Konklusinya, pendekatan ini semua pihak akan mendapat manfaat bersama melalui pendekatan ini. Sebagai Pencarum, ianya merupakan salah satu langkah yang bijak kerana memanfaatkan caruman KWSP. Ianya juga dapat membantu pencarum untuk memiliki perlindungan yang komprehensif dan berterusan tanpa membebankan perbelanjaan bulanan mereka.
Kebaikan kepada kerajaan, langkah ini sepatutnya menjadi langkah bijak yang perlu diambil kira dalam meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia. Lagipun, statistik daripada BNM menunjukkan kebanyakkan golongan yang berpendapatan sederhana adalah golongan yang paling ramai diiktiraf sebagai Muflis dan statistik ini meningkat saban tahun. Perlu diingat bahawasanya kebanyakkan mereka turut mendapatkan perlindungan daripada Syarikat Takaful melalui potongan secara terus daripada Kad Debit/Kredit mereka. Jadi, ini jelas menunjukkan perbelanjaan bulanan mereka semakin meningkat. Dengan adanya langkah ini, ianya sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban rakyat dan seterusnya dapat meningkatkan kuasa membeli pengguna (pendapatan boleh guna) yang mana secara tidak langsung dapat merancakkan lagi ekonomi negara.
Sementara itu, ianya juga memberikan manfaat kepada Pihak KWSP dan Syarikat Takaful. Bagi pihak KWSP, jumlah caruman individu akan terus meningkat dan secara langsung akan meningkatkan peluang pelaburan KWSP dalam bidang lain yang lebih menguntungkan dan memberikan pulangan yang lebih baik kepada pencarum. Malah, bagi Syarikat Takaful, ianya membuka peluang perniagaan yang lebih luas yang akan menjamin kelangsungan perniagaan, memperkukuh kedudukan syer pasaran dan menjadikan Syarikat Takaful berdaftar lebih berdaya saing.


Lampiran 1 Modus Operandi


  1. Pencarum berhubung dengan Syarikat Takaful untuk mendapatkan pakej perlindungan yang bersesuaian. Kemudian, pencarum perlu mengisi borang permohonan mengikut pakej yang bersesuaian dan menyediakan dokumen yang berkaitan seperti maklumat perubatan dan sebagainya.
  2. Seterusnya, sekiranya semua permohonan telah lengkap diisi dan maklumat yang berkaitan dipenuhi, Syarikat Takaful akan menyerahkan borang permohonan yang telah dipersetujui dengan pencarum berserta dokumen yang diperlukan kepada KWSP untuk proses penilaian dan tindakan selanjutnya.
  3. Pihak KWSP akan memaklumkan kepada pencarum mengenai status permohonan tersebut dalam tempoh 30 hari daripada penghantaran borang yang lengkap. Sekiranya berjaya, KWSP akan memotong Akaun 1 pencarum dan membayar premium secara terus kepada Syarikat Takaful mengikut jumlah yang dipersetujui. Adalah dicadangkan agar sumbangan premium yang perlu dibayar hendaklah dikira secara tahunan (lump sum) berbanding pembayaran secara bulanan bagi mempermudahkan urusan kedua-dua pihak. Sekaligus, memastikan perlindungan dapat diberikan secara berterusan bagi satu tempoh tertentu.
  4. Sekiranya permohonan telah diluluskan, Syarikat Takaful akan memulakan perlindungan kepada pencarum sepanjang tempoh yang dipersetujui. Sekiranya perlindungan berserta dengan Kad Perubatan, maka kad tersebut perlu diserahkan kepada pencarum untuk memudahkan tuntutan perubatan bila perlu.
  5. Sekiranya pakej yang dipohon termasuk dengan Perlindungan Simpanan, ke semua jumlah matang, dividen atau pembayaran bonus pada tempoh matang perlu dimasukkan semula ke dalam akaun pencarum untuk memaksimumkan simpanan pencarum.
  6. Pihak KWSP hanya membenarkan pengeluaran caruman mengikut syarat-syarat yang telah termaktub di dalam Akta Caruman KWSP.